Friday 6 April 2012

Pendudukan Jepun Di Negara Kita ~ sejarah form 3

Jepun menjalankan pemerintahan bercorak ketenteraan ketika menduduki negara kita.


Kedatangan Jepun

  1. Pemerintahan Maharaja Mikado Meiji pada tahun 1868 telah membawa kepada kemunculan Jepun sebagai kuasa imperialis baru.
  2. Maharaja Mikado Meiji berjaya memodenkan Jepun dalam tempoh 30 tahun dengan melancarkan gerakan yang dikenal sebagai "Pemulihan Meiji".
  3. Pelancaran Pemulihan Meiji ini banyak menekankan unsur pemodenan dan perindustrian.
  4. Bagi memajukan Jepun, kerajaan Meiji menjadikan negara-negara Barat sebagai model.
  5. Negara China menjadi sasaran awal peluasan kuasa Jepun kerana China:
    1. banyak mempunyai bahan mentah;
    2. berpotensi menjadi pasaran barangan Jepun.
  6. Jepun dianggap sebagai sebuah kuasa besar setelah berjaya menewaskan tentera Rusia dalam Perang Rusia-Jepun yang berlaku pada tahun 1905.
  7. Peristiwa ini adalah penting kerana buat kali pertama sebuah negara Asia berjaya mengalahkan kuasa Eropah.
  8. Peluasan kuasa Jepun sehingga Perang Dunia Kedua adalah seperti yang berikut:

    Tahun
    Peluasan Kuasa Jepun
    1895Kemenangan Jepun dalam Perang China-Jepun Pertama.
    1905Kemenangan Jepun dalam Perang Rusia Jepun.
    1910Penaklukan kuasa Jepun ke atas Korea.
    1932Penjajahan Jepun di Manchuria.
    1937Kemenangan Jepun dalam Perang China-Jepun Kedua.
    1941Serangan Jepun terhadap Asia Tenggara.
  9. Peluasan kuasa Jepun juga dipengaruhi oleh masalah ekonomi di Jepun, iaitu:
    1. kekurangan tanah pertanian akibat pertambahan penduduk Jepun;
    2. keperluan kawasan pasaran baru untuk memasarkan hasil perindustrian;
    3. keperluan bahan mentah seperti bijih timah, petroleum, dan getah untuk menjadikan Jepun sebagai sebuah negara industri.
  10. Pada tahun 1937, kuasa Jepun telah berjaya menakluk sebahagian negara China akibat tercetusnya Perang China-Jepun Kedua.
  11. Pada tahun 1940, keadaan menjadi semakin mendesak apabila Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap Jepun kerana keengganan pihak Jepun berundur dari China.
  12. Tindakan Amerika Syarikat itu menyebabkan golongan tentera Jepun yang dipimpin oleh Jeneral Tojo menyerang Asia Tenggara.
  13. Serangan tersebut bertujuan untuk melepaskan Jepun daripada sekatan tersebut.
  14. Sejak bulan Februari 1936, golongan tentera telah mengambil alih kuasa pentadbiran di negara Jepun.
  15. Semasa Jeneral Tojo menjadi Perdana Menteri Jepun, semua kuasa Barat berjaya diusir dari Asia Tenggara.
  16. Pihak Jepun menggunakan propaganda untuk mempengaruhi rakyat Tanah Melayu dengan slogan-slogan seperti:
    1. "Semangat Asia";
      • negara-negara Asia mempunyai jati diri dan kekuatan yang tersendiri untuk menghadapi sesuatu cabaran.
    2. "Asia untuk orang Asia";
      • negara Asia adalah untuk orang Asia dan tidak sepatutnya dikuasai oleh kuasa Barat. Sebagai buktinya, Thailand tidak diserang oleh Jepun kerana tidak ditakluk oleh mana-mana kuasa Barat.
    3. "Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya".
  17. Slogan-slogan ini berunsur antipenjajah Barat dan menonjolkan imej Jepun sebagai penyelamat negara-negara Timur daripada penindasan kuasa-kuasa Barat.
  18. Strategi Jepun ini amatlah berkesan sehingga penjajahan Jepun yang menggantikan British tidak begitu dirasakan oleh penduduk Tanah Melayu.
  19. Pengajaran kepada kita daripada peristiwa ini ialah slogan yang baik adalah perlu untuk melancarkan sesuatu misi.
  20. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita patut berhati-hati terhadap propaganda dari luar.
  21. Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun mendarat serentak di Thailand (Singgora dan Pattani) dan di Pantai Sabak, Kota Bahru.
  22. Ini menandakan bermulanya kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu.
  23. Tentera Jepun yang mendarat di Thailand terus mara ke Jitra, Kedah.
  24. Kemudiannya, tentera Jepun dipecahkan kepada dua, iaitu:
    1. sepasukan mengikut jalan darat menuju bandar-bandar utama di negeri-negeri pantai barat;
    2. sepasukan lagi, menuju ke Pulau Pinang dan meneruskan kemaraan ke selatan mengikut pesisiran pantai barat.
  25. Sementara itu, tentera Jepun yang mendarat di Kota Bahru pula mara ke selatan melalui jalan darat di negeri-negeri pantai timur.
  26. Anggaran kekuatan tentera Jepun dan tentera British di Tanah Melayu adalah seperti yang berikut:

    Tentera JepunTentera British
    80 ribu tentera100 ribu tentera
    410 buah kapal terbang pejuang141 buah kapal terbang pejuang
    80 buah kereta kebal2 buah kapal perang
    100 buah kereta
    kebal kecil
  27. Di Borneo, tentera Jepun mendarat di Miri, Sarawak.
  28. Dari Miri, tentera Jepun berpecah kepada dua pasukan, iaitu:
    1. sepasukan meneruskan kemaraan ke Sabah melalui Labuan dan kemudiannya ke Sandakan;
    2. sepasukan lagi ke Kuching dan seterusnya ke Sibu.
  29. Tentera Jepun kemudiannya meneruskan kemaraannya ke kawasan pesisiran pantai Sarawak dan Sabah, terutamanya di bandar-bandar besar.
  30. Serangan tentera Jepun ke Sarawak dan Sabah tidak menghadapi tentangan yang sengit.

Kemaraan Tentera Jepun ke Semenanjung Tanah Melayu (8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942)

  1. Serangan melalui pesisiran pantai barat. Tarikh-tarikhnya:
    1. 8 Disember 1941;
      • tentera Jepun mendarat di Singgora dan Patani.
    2. 12 Disember 1941;
      • dari Singgora dan Patani, tentera Jepun sampai ke Jitra.
    3. 13 Disember 1941;
      • tentera Jepun bertapak di Alor Setar.
    4. 17 Disember 1941;
      1. tentera Jepun mara ke Pulau Pinang.
      2. dari Pulau Pinang, tentera Jepun menuju ke selatan melalui pesisiran pantai dengan menggunakan bot-bot yang dirampas.
    5. 10 Januari 1942;
      • tentera Jepun sampai ke Port Swettenham.
    6. 21 Januari 1942.
      • tentera Jepun mara ke Batu Pahat.
  2. Serangan melalui jalan darat di negeri-negeri pantai barat. Tarikh-tarikhnya:
    1. 13 Disember 1941;
      1. tentera Jepun bertapak di Alor Setar.
      2. dari Alor Setar, tentera Jepun menuju ke selatan melalui bandar-bandar utama dengan menggunakan basikal dan kereta kebal.

           
        PETUNJUKSerangan dari laut
        Kubu tentera British
        Serangan dari darat  
        Kemaraan Tentera Jepun untuk
        menguasai Tanah Melayu
    2. 26 Disember 1941;
      • tentera Jepun sampai di Ipoh.
    3. 7 Januari 1942;
      • tentera Jepun berada di Slim River.
    4. 11 Januari 1942;
      • tentera Jepun berjaya menguasai Kuala Lumpur dan ini merupakan kejayaan awal pendudukan tentera Jepun.
    5. 16 Januari 1942;
      • tentera Jepun bertapak di Muar.
    6. 31 Januari 1942.
      • tentera Jepun sampai ke Johor Bahru.
  3. Serangan Jepun melalui jalan darat di negeri-negeri pantai timur. Tarikh tarikhnya:
    1. 8 Disember 1941;
      • tentera Jepun mendarat di Kota Bahru.
    2. 31 Disember 1941;
      • tentera Jepun sampai ke Kuantan.
    3. 28 Januari 1942;
      • tentera Jepun berada di Mersing.
    4. 31 Januari 1942;
      • tentera Jepun bertemu di Johor Bahru.
    5. 15 Februari 1942.
      1. tentera Jepun menawan Singapura.
      2. dengan penawanan ini, seluruh Tanah Melayu telah jatuh ke tangan tentera Jepun.

        British Mencuba Menyekat Kemaraan Jepun
        • Tentera British membuat pertahanan di Singapura.
        • Apabila menyedari tentera Jepun menyerang dari arah utara, tentera laut British bergerak mara ke utara untuk menyekat kemaraan tentera Jepun.
        • Pada 10 Disember 1941, tentera berani mati Jepun menenggelamkan kapal British iaitu Repulse dan Prince of Wales.
        • Tindakan tentera Jepun itu telah melemahkan perjuangan tentera British.

Cara Kemaraan Tentera Jepun

Tentera Jepun mara ke Tanah Melayu melalui beberapa cara, iaitu:
  1. Menggunakan kapal perang
    1. tentera Jepun menggunakan kapal terbang perang untuk menyerang askar British di Tanah Melayu;
    2. kapal terbang perang ini juga memberikan perlindungan kepada tentera darat Jepun.
  2. Menggunakan bot
    • bot digunakan oleh tentera Jepun untuk mendaratkan tenteranya dari kapal perang yang sukar berlabuh di pantai.
  3. Menggunakan kereta kebal
    1. tentera Jepun berjaya memaksa tentera British berundur dengan kereta kebal penggempur;
    2. kereta kebal kecil yang bersifat ringan dan lebih mudah dikendalikan digunakan oleh tentera Jepun juga.
  4. Menggunakan basikal
    1. basikal digunakan untuk melalui jalan yang sempit;
    2. cara ini dapat mempercepat perjalanan tanpa disedari oleh askar British.

Kemusnahan Akibat Peperangan

  1. Peperangan telah menyebabkan kemusnahan. Antaranya:
    1. infrastruktur;
    2. bangunan;
    3. sumber ekonomi.
  2. Contoh kemusnahan yang berlaku adalah seperti:
    1. bangunan Muzium Selangor musnah akibat serangan tentera Jepun. Ini menunjukkan peperangan turut menghancurkan tamadun manusia;
    2. tentera British meletupkan Jambatan Guillemard di Kuala Krai untuk menyekat kemaraan tentera Jepun;
    3. banyak bangunan dimusnahkan akibat peperangan ini.
  3. Taktik "Bumi Hangus" digunakan oleh tentera British semasa berundur dari Tanah Melayu. 
  4. Melalui taktik tersebut, tentera British memusnahkan jalan raya, landasan kereta api, jambatan, ladang-ladang, dan kawasan perlombongan untuk:
    1. melumpuhkan ekonomi;
    2. melengah-lengahkan kemaraan Jepun.
  5. British memusnahkan dokumen-dokumen kerajaan dan membakar telaga minyak di Miri, Sarawak.
  6. Cita-cita Jepun untuk mengawal bahan mentah di negara kita telah gagal akibat kemusnahan ini.
  7. Kita haruslah sentiasa berusaha mengelakkan sebarang peperangan daripada berlaku di negara kita untuk menjamin daripada berulangnya peristiwa kemusnahan itu.

Pertahanan Tentera British terhadap Kemaraan Tentera Jepun

  1. Tentera British di Tanah Melayu yang terdiri daripada tentera-tentera India – Gurkha, British, dan Australia gagal menyekat kemaraan tentera Jepun.
  2. Tentera British terpaksa berundur ke selatan.
  3. Bandar-bandar utama dari utara ke selatan satu demi satu dikuasai oleh Jepun.
  4. Tentera British pula memang tidak berhasrat mempertahankan Tanah Melayu dengan bersungguh-sungguh kecuali Singapura.
  5. Mereka bertumpu kepada pertahanan negara Britain daripada serangan tentera Paksi di Eropah.
  6. Sebaliknya, Rejimen Askar Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan Tanah Melayu.
  7. Rejimen Askar Melayu gigih menjalani latihan untuk menghadapi peperangan. Walaupun bilangnya kecil namun semangat perjuangannya amat mengagumkan.
  8. Leftenan Adnan, ketua pasukan pertahanan di Bukit Gap, Singapura telah terkorban dalam pertempuran semasa mempertahankan negara.
  9. Seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun selepas sepuluh minggu tentera Jepun mendarat.
  10. Leftenan Jeneral A. E. Percival menyerahkan diri kepada Leftenan Jeneral Yamashita Tomoyuki pada 15 Februari 1942 di Singapura.
  11. Leftenan Jeneral Yamashita yang lebih dikenal sebagai Harimau Malaya telah mengetuai serangan Jepun di Tanah Melayu.
  12. Pengajaran yang kita peroleh daripada peristiwa ini ialah, tidak mengharapkan kuasa asing untuk mempertahankan tanah air kita sendiri.

Kejayaan Tentera Jepun

  1. Faktor kejayaan Jepun mengalahkan British di Tanah Melayu ialah:
    1. perancangan awal perang;
      1. Jepun menggunakan propaganda untuk mempengaruhi fikiran dan mendapatkan kerjasama penduduk di Tanah Melayu.
      2. aktiviti perisikan dijalankan oleh Jepun di Tanah Melayu untuk mendapatkan maklumat bagi memudahkan serangan.
    2. peranan Kesatuan Melayu Muda (KMM);
      1. penyebaran propaganda Jepun di Tanah Melayu dibantu oleh KMM.
      2. maklumat perisikan tentang Tanah Melayu diberikan oleh KMM.
      3. KMM menjadi penunjuk arah semasa kemaraan Jepun.
    3. kelengkapan perang tentera Jepun;
      1. Jepun menggunakan banyak kapal terbang pejuang yang moden seperti 'Zero Fighter'.
      2. kereta kebal yang digunakan oleh tentera Jepun sesuai dengan bentuk muka bumi di Tanah Melayu.
    4. taktik serangan Jepun;
      1. pangkalan utama tentera Amerika Syarikat di Asia Pasifik, Pearl Harbour di Hawaii, dimusnahkan oleh Jepun.
      2. oleh sebab pertahanan utama British tertumpu di Singapura, Jepun memulakan serangan dari utara Tanah Melayu.
    5. semangat tentera Jepun;
      1. tentera Jepun berjuang untuk kemegahan negara mereka.
      2. tentera Jepun rela mati demi maharaja Jepun.
      3. tentera Jepun berpengalaman kerana pernah terlibat dalam Perang China-Jepun.
    6. pakatan Jepun-Thailand;
      1. Jepun diberikan laluan untuk mendarat di Thailand.
      2. sebagai balasannya, Jepun tidak menyerang Thailand.
      3. Kelantan, Terengganu, Perlis, dan Kedah diserahkan oleh Jepun kepada Thailand.
    7. kelemahan tentera British.
      1. oleh sebab British lebih menumpukan perhatian terhadap peperangan di Eropah, tentera British tidak bersedia untuk menghadapi serangan Jepun di Tanah Melayu.
      2. tentera British kurang terlatih dan kekurangan peralatan perang.
      3. perubahan sikap askar India yang berkhidmat dengan British menyebabkan mereka menjadi anti-British.
      4. British hanya menumpukan pertahanannya di Singapura.
  2. Banyak pihak seperti Amerika Syarikat dan Britain sendiri terperanjat kerana kejayaan tentera Jepun menakluki negara kita dalam masa yang singkat.
  3. Kunci kejayaan tentera Jepun ialah:
    1. strategi peperangan yang baik terutamanya kegiatan perisikan yang berkesan;
    2. kelemahan pertahanan tentera British;
    3. penduduk tempatan tidak menentang kedatangan tentera Jepun kerana terpengaruh dengan slogan-slogan propaganda Jepun;
    4. kebijaksanaan Jepun mengambil kesempatan semasa kuasa-kuasa Barat menumpukan perhatian terhadap peperangan di Eropah untuk menyerang Tanah Melayu.
  4. Kegiatan perisikan Jepun:
    1. ejen perisikan ialah rakyat Jepun di Tanah Melayu dan anggota tentera Jepun;
    2. mereka menyamar sebagai:
      1. pelancong
      2. orang Cina
      3. pekedai runcit
      4. pekedai dobi
      5. pekedai gula-gula
      6. tukang gunting rambut
      7. tukang gambar
      8. pekedai ikan hiasan
      9. penarik beca

Dasar Pemerintahan Tentera Jepun

  1. Pemerintahan bercorak tentera diperkenalkan di Tanah Melayu, Sarawak, dan Sabah oleh pihak Jepun selepas British menyerah kalah. 
  2. Tanah Melayu diberikan nama Malai Baru (Melayu Baru).
  3. Singapura diberikan nama Syonan (Cahaya Selatan). Pentadbirannya diasingkan daripada Tanah Melayu.
  4. Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu dibahagikan kepada dua, iaitu:
    1. pentadbiran pusat;
    2. pentadbiran wilayah.
  5. Pada mulanya, Tanah Melayu dan Sumatera diletakkan di bawah satu pentadbiran.
  6. Pengarah Agung mengetuai pentadbiran pusat dan berpusat di Singapura.
  7. Terdapat pentadbiran wilayah yang terdiri daripada negeri-negeri di bawah pentadbiran pusat.
  8. Gabenor Wilayah mengetuai setiap wilayah.

    Pentadbiran Pusat
    Pejabat Perang (di Tokyo)
        
    Pengarah Agung (di Singapura)
    Mahkamah
    Biro-Biro Pentadbiran
    Majlis Pusat
  9. Pentadbiran Wilayah
    Gabenor Wilayah
    Biro-Biro Pentadbiran
    Datuk Bandar
    Pegawai Daerah
     
     
     
    Penghulu
    Struktur Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu
  10. Sebagai tanda menghargai kerjasama Thailand yang memberi laluan kepada tentera Jepun, negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, dan Kedah diserahkan kepada negara tersebut.
  11. Jepun menggabungkan Sabah, Sarawak, dan Brunei menjadi satu unit pentadbiran pusat yang dikenal sebagai pentadbiran Borneo Utara.
  12. Gabenor Jeneral mengetuai pentadbiran Borneo Utara dan beribu pejabat di Kuching.
  13. Sabah dibahagikan kepada dua wilayah manakala Sarawak dibahagikan kepada tiga wilayah.
  14. Setiap wilayah diketuai oleh seorang Gabenor Wilayah.
  15. Pentadbiran di peringkat daerah sama ada di Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak tidak banyak berubah seperti di bawah pentadbiran British.

    Pejabat Perang
    (di Tokyo)
    Gabenor Jeneral
    (di Kuching)
    Gabenor Wilayah
    • Kuching
    • Sibu
    • Miri
    • Jesselton
    • Sandakan
    Residen
    Pegawai Daerah
    (15 buah daerah)
    Ketua Tempatan

    Struktur Pentadbiran Jepun
    di Sabah dan Sarawak.


  16. Bagi mencapai matlamat pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pelbagai dasar diperkenalkan di Tanah Melayu.
  17. Dasar pentadbiran tentera Jepun selalu berubah-ubah mengikut kepentingan Jepun.
  18. Tentera Jepun tidak pernah menjaga kebajikan penduduk tempatan.
  19. Penduduk tempatan pula tidak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka.
  20. Terdapat muslihat yang tertentu di sebalik dasar yang diperkenalkan oleh pihak Jepun.
  21. Dasar Jepun yang lebih bermanfaat kepada penduduk tempatan diperkenalkan apabila pihak Jepun mendapati mereka akan kalah dalam Perang Dunia Kedua.
  22. Perubahan tersebut bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat supaya tidak menyokong British apabila kembali ke Tanah Melayu kelak.

Dasar Pemerintahan Tentera Jepun di Tanah Melayu

  1. Dasar pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu dapat dilihat daripada beberapa aspek seperti:
    1. dasar politik;
      1. kedudukan sultan
        • sultan diberikan elaun seperti semasa pemerintahan British.
        • sultan bukan pemerintah negeri.
        • sultan hanya merupakan ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu.
      2. status Tanah Melayu
        • Tanah Melayu dijadikan tanah jajahan Jepun.
      3. Majlis Agama Islam
        • majlis ini hanya ditubuhkan ketika tentera Jepun hampir kalah.
    2. dasar ekonomi;
      1. mata wang Jepun
        • mata wang Jepun diperkenalkan.
      2. eksploitasi ekonomi
        • bagi menampung kegiatan pemerintahan dan membiayai peperangan, tentera Jepun mengeksploitasi ekonomi Tanah Melayu.
      3. pengenalan ekonomi kawalan
        • ekonomi sara diri digiatkan untuk pengeluaran makanan harian.
        • bagi mengatasi masalah kekurangan barang keperluan harian, catuan makanan dilaksanakan.
        • syarikat Jepun yang dikenal sebagai 'Kaisha' diberikan layanan istimewa.
    3. dasar penjepunan dan sosial;
      1. kesetiaan terhadap Jepun
        • penduduk Tanah Melayu dikehendaki menumpukan kesetiaan kepada Maharaja Jepun.
        • lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo dinyanyikan di sekolah pada setiap pagi.
      2. penggalakan budaya Jepun
        • bahasa pengantar di sekolah ialah Nippon-Go (bahasa Jepun).
        • cuti sempena harihari perayaan Negara Jepun diperkenalkan.
      3. pengaruh Barat dan Cina
        • untuk menghapuskan pengaruh British dan China, sekolah- sekolah Inggeris dan Cina ditutup.
      4. orang Melayu
        • bagi mendapatkan kerjasama orang Melayu untuk meneruskan pemerintahan, orang Melayu dilayan dengan baik.
      5. orang India
        • oleh sebab Jepun ingin mendapatkan kerjasama daripada orang India untuk mengusir British di India, orang India diberikan layanan yang baik.
      6. orang Cina
        • orang Cina dilayan dengan kasar kerana mereka menyokong kerajaan China dalam Perang China-Jepun.
  2. Rakyat tempatan diwajibkan mempelajari bahasa Jepun. Ruangan khas belajar bahasa Jepun disediakan dalam akhbar Fajar Asia.
  3. Antara Dasar Penjepunan termasuklah:
    1. kewajipan kakitangan kerajaan dan pelajar-pelajar sekolah menyanyikan 'Kimigayo' (lagu kebangsaan Jepun);
    2. penyiaran budaya Jepun dalam akhbar;
    3. pertukaran nama Stesen Kereta Api Tanjong Pagar kepada Stesen Kereta Api Syonan;
    4. penggunaan bahasa Jepun untuk nama persatuan perdagangan.
  4. Pihak Jepun mengeluarkan surat pemberitahuan bagi menangani masalah kekurangan bahan makanan.
  5. Surat pemberitahuan tersebut telah diedarkan ke seluruh Tanah Melayu.

    Pemberitahuan Kerajaan
    Nombor 41
    Pertanian secara sara diri
    1. Bagi mengatasi masalah kekurangan makanan, setiap keluarga diwajibkan menanam tanaman dan sayur-sayuran di halaman rumah sendiri dan dikembangkan dalam tempoh satu bulan dari tarikh pemberitahuan notis ini.
    2. Keluarga yang berjaya mencapai tujuan ini akan diberikan hadiah.
    3. Hukuman akan dikenakan terhadap mereka yang tidak mematuhi pemberitahuan ini atau membiarkan tanahnya kosong.
    Nota:Sesiapa yang memerlukan bantuan dan nasihat berkaitan perkara ini boleh merujuk kepada Nomuka Penang atau Nomukakari di daerah masing-masing.
      Itami Masakichi
    Penang Shu Chokan
    25 November 2603

Reaksi Penduduk Tanah Melayu

Terdapat pelbagai reaksi daripada penduduk tempatan terhadap kemunculan tentera Jepun di Tanah Melayu.
  1. Reaksi orang Melayu
    1. sebahagian besar orang Melayu tidak menentang kehadiran Jepun, malah ada juga yang mengalu-alukannya;
    2. mereka dipengaruhi oleh propaganda Jepun seperti "Asia untuk Orang Asia" dan rancangan "Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya";
    3. tentera Jepun memberikan layanan yang baik kepada orang Melayu;
    4. Ibrahim Haji Yaacob, pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah mengadakan pakatan sulit dengan pihak Jepun;
    5. beliau merupakan lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris;
    6. pakatan dengan Jepun bertujuan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British;
    7. sokongan orang Melayu tidak kekal lama kerana kekejaman tentera Jepun;
    8. Jepun mewujudkan pemerintahan baru secara tentera yang menyusahkan kehidupan rakyat sebaik sahaja menduduki Tanah Melayu;
    9. slogan Jepun hanya muslihat untuk kepentingan mereka;
    10. status Tanah Melayu berubah menjadi jajahan Jepun;
    11. Tanah Melayu tidak diberikan kemerdekaan seperti yang dijanjikan;
    12. pihak Jepun tidak mengiktiraf kedudukan raja-raja Melayu pada peringkat awal pendudukan Jepun;
    13. pihak Jepun mengharamkan Kesatuan Melayu Muda;
    14. kekejaman tentera Jepun dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap bersalah;
    15. pengajaran yang dapat kita peroleh melalui pemerintahan Jepun ialah kita harus berwaspada semasa menjalin hubungan dengan kuasa-kuasa asing.
  2. Reaksi orang Cina
    1. Perang China-Jepun yang tercetus pada tahun 1937 jelas mempengaruhi reaksi orang Cina terhadap pemerintahan Jepun;
    2. kebanyakan orang Cina terlibat dalam gerakan anti-Jepun;
    3. antara reaksi orang Cina di Tanah Melayu ialah:
      1. memulaukan barangan Jepun.
      2. memungut derma untuk membantu negara China.
      3. ada juga pemuda Cina balik ke negara China untuk menyertai perang menentang Jepun.
    4. kesannya, orang Cina dilayan secara kasar malah banyak yang dibunuh oleh tentera Jepun apabila Tanah Melayu dijajah oleh Jepun;
    5. namun, ada juga segelintir orang Cina yang menyokong Jepun dengan tujuan:
      1. menjaga kepentingan perniagaan.
      2. menjamin keselamatan nyawa.
  3. Reaksi orang India
    1. Kerjasama orang India amat diperlukan oleh Jepun untuk mengusir British di India;
    2. oleh sebab itu, orang India diberikan layanan yang baik;
    3. pihak Jepun juga menyeru orang India supaya bersatu padu menentang British;
    4. orang India yang menyertai pasukan tentera British dipengaruhi oleh Jepun supaya bekerjasama dengan mereka;
    5. kebanyakan orang India menyertai Tentera Kebangsaan India;
    6. pihak Jepun juga mendorong pengasasan Liga Kemerdekaan India untuk menentang British.

Gerakan Anti-Jepun

  1. Dasar kekejaman yang dijalankan oleh pihak Jepun di Tanah Melayu menyebabkan kemunculan gerakan anti-Jepun yang merupakan reaksi rakyat terhadap pemerintahan Jepun.
  2. Pertubuhan anti-Jepun terdapat di seluruh Tanah Melayu, Sarawak, dan Sabah juga.
  3. Dalam usaha menentang Jepun, pertubuhan ini telah mendapat bantuan daripada tentera Bersekutu khususnya British dan melancarkan perang gerila.
  4. Pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam gerakan anti-Jepun di Tanah Melayu termasuklah:
    1. Force 136;
      1. terdiri daripada pegawai-pegawai tadbir Melayu.
      2. diasaskan oleh tentera Bersekutu di Johor, Pahang, dan Kedah untuk menentang Jepun di Tanah Melayu.
      3. anggotanya mendapat latihan daripada tentera Bersekutu di Sri Lanka.
    2. Askar Melayu Setia (AMS);
      1. bekerjasama dengan Force136.
      2. mendapat bantuan daripada Force 136.
      3. bergerak secara gerila.
    3. Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA);
      1. ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
      2. bekerjasama dengan British.
      3. melancarkan taktik perang gerila.
      4. mendapat bantuan latihan ketenteraan, senjata, dan kewangan daripada British.
    4. Pasukan Wataniah Pahang.
      1. sultan Pahang merupakan Pemerintah Kehormat.
      2. diketuai oleh Yeop Mahidin.
      3. berhubungan baik dengan pasukan Force 136.
  5. Pertubuhan-pertubuhan yang terlibat dalam gerakan anti-Jepun di Sabah dan Sarawak termasuklah:
    1. pasukan gerila di Sandakan;
      • melancarkan penentangan Jepun di Sandakan.
    2. Gerila Kinabalu;
      1. dipimpin oleh Albert Kwok.
      2. melancarkan pemberontakan "Double Tenth" tetapi gagal.
    3. pasukan gerila Datu Mustapha;
      • melancarkan penentangan Jepun di Kudat.
    4. penentangan Jepun di pesisiran pantai Sarawak;
      • menolong tentera Bersekutu mengusir tentera Jepun.
  6. Tentera Bersekutu memaksa Jepun menyerah diri pada tahun 1945.
  7. Namun, tentera Jepun enggan menyerah diri.
  8. Pada 6 Ogos 1945, tentera bersekutu yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah menggugurkan bom atom di Hiroshima.
  9. Kemudiannya, bom atom digugurkan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945.
  10. Pada 15 Ogos 1945, Jepun terpaksa menyerah kalah tanpa syarat.
  11. Ketua tentera Jepun di Tanah Melayu, Jeneral Seishiro Itagaki menyerah diri.
  12. Beliau menandatangani perjanjian menyerah kalah secara rasmi kepada Laksamana Louis Mountbatten, Komander Tentera Bersekutu di Asia Tenggara pada 12 September 1945 di Singapura.
  13. Di wilayah Borneo pula, Masao Baba, pemerintah tertinggi tentera Jepun ke-37 telah menyerah kalah di Surrender Point, Labuan pada 10 September 1945.

3.01.2 Kesan Pemerintahan Tentera Jepun

Politik

  1. Semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk di Tanah Melayu, Sarawak, dan Sabah menyemarak apabila Jepun berjaya mengalahkan kuasa Barat dalam Perang Dunia Kedua.
  2. Kejayaan Jepun juga memberikan keyakinan kepada orang Asia untuk memperjuangkan kemerdekaan negara sendiri.
  3. Pemikiran penduduk tempatan dipengaruhi oleh slogan-slogan seperti "Asia untuk Orang Asia" untuk menentang penjajah Barat.
  4. Akhbar Fajar Asia merupakan antara akhbar yang diterbitkan pada masa pedudukan Jepun di Tanah Melayu. Akhbar ini berperanan penting dalam penyebaran propaganda Jepun di Tanah Melayu.
  5. Koa Kunrenjo merupakan sebuah Sekolah Latihan Kepimpinan yang ditubuhkan oleh pihak Jepun.
    1. ditubuhkan di Melaka, Pulau Pinang, dan Singapura;
    2. bertujuan menangani masalah kekurangan pegawai awam;
    3. kebanyakan pelatihnya merupakan orang Melayu dan mereka diberikan jawatan dalam pentadbiran awam setelah tamat latihan.
  6. Rakyat tempatan berpeluang menjawat jawatan seperti pegawai daerah.
  7. Antara mereka yang dilantik sebagai pegawai daerah ialah:
    1. Kapten Mohd. Salleh Haji Sulaiman di Hulu Perak;
    2. Abang Haji Openg di Kuching.
  8. Ibrahim Haji Yaacob dilantik sebagai Leftenan Kolonel yang memimpin pasukan Pembela Tanah Air (PETA).
  9. Jepun memberikan latihan ketenteraan kepada anggota PETA untuk menentang tentera Bersekutu.
  10. Jawatan seperti Penasihat Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu disandang oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy.
  11. Dato' Onn Ja'afar pula dilantik menjadi Pengawal Makanan Negeri Johor dan dilantik semula sebagai Ahli Majlis Negeri Johor.
  12. Semasa pemerintahan British, peluang untuk menyandang jawatan tinggi tidak pernah diberikan kepada orang Melayu.
  13. Peluang orang Melayu menyandang jawatan tinggi dalam pentadbiran diberikan oleh pihak Jepun melalui dasar tersebut.
  14. Walau bagaimanapun, dasar Jepun untuk membela negara-negara Asia tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
  15. Kegiatan politik di Tanah Melayu sentiasa diawasi oleh pihak Jepun.
  16. Kebebasan bersuara rakyat disekat oleh pihak Jepun.
  17. Pihak Jepun juga mengharamkan akhbar-akhbar yang mencurigakan.
  18. Hanya pertubuhan yang pro-Jepun dibenarkan aktif.
  19. Pada tahun 1942, Jepun telah mengharamkan KMM yang telah banyak memberikan kerjasama kepadanya.
  20. Pertubuhan-pertubuhan politik dibenarkan bergiat semula seperti KMM ketika pihak Jepun menerima tekanan daripada tentera bersekutu.
  21. Tanah Melayu dijanjikan kemerdekaan bersama Indonesia oleh Jepun.
  22. Bagi memperjuangkan kemerdekaan bersama Indonesia, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) ditubuhkan.
  23. Konsep Melayu Raya yang diperjuangkan oleh KMM dapat dikukuhkan melalui rancangan ini.
  24. Semasa pentadbiran Jepun, perjuangan kebangsaan mempunyai haluan yang tidak sama mengikut kaum dengan berpaksi kepada negara asal masing-masing.
  25. Kesan daripada Perang China-Jepun menyebabkan orang Cina bersikap anti-Jepun.
  26. Semangat kebangsaan dalam kalangan orang India bertujuan membebaskan negara India.
  27. Parti Komunis Malaya yang mendapat bantuan daripada pasukan Force 136 menjadi semakin berpengaruh dan berkuasa.
  28. Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA).
  29. Tentera MPAJA menggunakan nama "Bintang Tiga" yang melambangkan tiga kaum utama. Sebahagian besar anggota Bintang Tiga merupakan orang Cina.
  30. Pendudukan Jepun menyedarkan kita supaya tidak mudah mempercayai kebaikan yang ditawarkan oleh kuasa asing.
  31. Hal ini dapat dilihat ketika Jepun mengingkari janji untuk membebaskan Tanah Melayu.
  32. Negeri-negeri Utara Tanah Melayu juga diserahkan oleh Jepun kepada Thailand.
  33. Kekejaman tentera Jepun semakin teserlah dan dasar Jepun amat menyusahkan rakyat.
  34. Pengajaran yang kita peroleh ialah kita tidak boleh hanya bergantung pada negara lain untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Ekonomi

  1. Cita-cita Jepun untuk mewujudkan 'Kawasan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya' telah menghadapi kegagalan kerana Jepun memberikan tumpuan kepada peperangan. 
  2. Akibat daripada perkara tersebut;
    1. ekonomi di Tanah Melayu merosot;
    2. gaji pegawai kerajaan dikurangkan;
    3. kadar pengangguran meningkat.
  3. Sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Kuasa Bersekutu mengakibatkan:
    1. perdagangan antarabangsa terhenti;
    2. beras tidak dapat diimport dari Indonesia dan Burma;
    3. hasil getah dan bijih timah tidak dapat dieksport ke Eropah;
    4. bahan mentah tidak dapat dihantar ke Jepun kerana kawalan kawasan perairan oleh kapal selam tentera Bersekutu.
  4. Ekonomi kawalan oleh Jepun hanya menguntungkan pihak Jepun dan tidak mendatangkan kebaikan kepada penduduk tempatan.
  5. Amalan pasaran gelap, rasuah, dan kegiatan menyorok barang berlaku di merata-rata tempat.
  6. Mata wang Jepun yang dikenal sebagai "wang pokok pisang" mempunyai nilai yang rendah kerana dicetak tanpa kawalan.


    Mata wang pokok pisang.
  7. Keadaan ini menyebabkan berlakunya inflasi kerana kekurangan barangan tetapi wang terlalu banyak di pasaran.
  8. Semasa pendudukan Jepun, sebahagian besar penduduk hidup dalam kesengsaraan dan keperitan.
  9. Bekalan barang keperluan seperti makanan, pakaian, dan ubat-ubatan sukar didapati dan harganya melambung tinggi.

    Jenis BarangKuantitiDisember 1941Disember 1943Ogos 1945
    Beras
    500 gram
    6 sen
    $ 2.50 sen
    $ 75.00
    Telursebiji3 sen$ 0.28 sen$ 35.00
    Gula500 gram8 sen$ 3.80 sen$ 120.00
    Kenaikan harga barang keperluan mengikut mata wang Jepun.
  10. Harga barang keperluan dinaikkan mengikut mata wang Jepun.
  11. Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan, pihak Jepun mengenakan catuan bekalan makanan terhadap rakyat.
  12. Bagi memastikan tidak ada keluarga mendapat bekalan melebihi daripada kadar yang ditetapkan, setiap keluarga diberikan kad catuan.
  13. Sebagai contohnya, sesebuah keluarga hanya boleh memiliki dua gantang beras untuk sebulan.
  14. Hal ini menyebabkan keluarga yang besar menghadapi masalah kekurangan makanan.
  15. Keledek dan ubi kayu menjadi makanan utama menggantikan nasi.
  16. Bagi mencari kehidupan yang lebih sempurna, kebanyakan penduduk bandar berpindah ke luar bandar.
  17. Penduduk di negara kita menjadi lebih kreatif akibat kesengsaraan hidup.
  18. Banyak ciptaan baru berasaskan bahan tempatan dihasilkan.
  19. Sebagai contohnya:
    1. kain daripada benang nanas dihasilkan;
    2. kasut getah daripada getah keping dikeluarkan.
  20. Ubat-ubatan tradisional menjadi semakin penting.
  21. Penduduk tempatan bergiat dalam perusahaan tradisional seperti menghasilkan:
    1. rokok daun;
    2. gula kelapa;
    3. minyak kelapa.
  22. Industri-industri baru berasaskan sumber tempatan yang diusahakan oleh syarikat Jepun banyak muncul di Tanah Melayu.
  23. Industri baru yang muncul adalah seperti yang berikut:
    1. pertambahan penduduk;
    2. petempatan baru;
    3. kertas daripada buluh, lalang, dan daun getah;
    4. kelambu dan kain daripada benang daun nanas;
    5. tayar tanpa tiub daripada getah padat;
    6. lori dan kereta berkuasa wap menggunakan arang;
    7. peralatan berasaskan logam dan kulit haiwan.
  24. Industri yang tidak ekonomi dan mengalami masalah kekurangan bahan mentah lenyap begitu sahaja.

Sosial

  1. Rakyat sentiasa berada dalam ketakutan dan kesusahan akibat berlakunya peperangan. 
  2. Sekatan perjalanan dan perintah berkurung telah dikenakan terhadap penduduk.
  3. Rakyat bimbang dianggap sebagai anti-Jepun dan saling mencuriga antara satu dengan yang lain.
  4. Ada kalangan penduduk yang menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun dan ada pula menjadi tali barut pihak Jepun.
  5. Kempeitai merupakan pasukan polis tentera Jepun yang menjaga kepentingan pemerintahan Jepun.
  6. Kempeitai menjalankan tugas pengintipan terhadap mereka yang dianggap bersalah.
  7. Amalan Kempeitai ialah "seksa dahulu kemudian siasat".
  8. Anggota pasukan ini bertindak dengan ganas dan kejam.
  9. Hukuman mati dan hukuman dera dilakukan di khalayak ramai.
  10. Kebanyakan rakyat dipaksa menjadi buruh paksa dan tidak diberikan gaji.
  11. Mereka hanya diberikan makanan sekadar untuk menampung kehidupan.
  12. Pembinaan "Jalan Kereta Api Maut" sepanjang 724 km di sempadan Thailand telah melibatkan lebih daripada 70 ribu orang buruh paksa Tanah Melayu
  13. Daripada jumlah itu, lebih satu pertiga daripadanya terkorban.
  14. Peperangan telah menyebabkan kemudahan kesihatan terjejas.
  15. Oleh sebab kekurangan zat makanan, wabak penyakit terutamanya penyakit beri-beri semakin merebak.
  16. Kebanyakan rakyat menderita akibat dijangkiti penyakit beriberi kerana tiada bekalan perubatan untuk mengubati penyakit ini.
  17. Masalah kebuluran pula berlaku di merata-rata tempat.
  18. Bekalan ubat tidak mudah diperoleh kerana tidak dapat diimport.
  19. Keadaan menjadi semakin buruk apabila tentera Jepun merampas ubat ubatan di pasaran untuk kegunaan mereka sendiri.
  20. Pendudukan Jepun telah membawa kesengsaraan dalam semua aspek kehidupan penduduk negara kita. Oleh itu, kita mesti menolak segala bentuk penjajahan terhadap negara kita.

4 comments:

  1. assalamualaikum.. isi kandungan sgt bagus..tp cuba perbaiki lagi.. apabila bercakap ttg sejarah.. admin haruslah meletakkan link bahan bacaan suapaya sejarah ini lebih kukuh.. bg mereka yg buta sejarah..mereka akn terima sebulat2nya.. sy harap admin dpt meletakkan link atau nama bahan bacaan bg setiap rujukan yg digunakan.. apapom.. arigatoghuzaimasu..!! isian admin baik~

    ReplyDelete
  2. Assalamualikum. Wah! Serious hebat. Cuma pengajaran dan hurain kuranglah admin. Admin kene letak sebab senang bagi pelajar macam saya nak tahu apa pengajaran bagi setiap pointnya ditulis. Gomawo <3

    ReplyDelete
  3. Saya nak pengajaranlah...

    ReplyDelete